MEI 2022

Premier Sarawak Akan Sertai Pemimpin Dunia Dalam Sidang Kemuncak Dan Pameran Hidrogen Dunia 2022 Di Belanda


KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg akan menyertai Sidang Kemuncak dan Pameran Hidrogen Dunia 2022 Rotterdam di Belanda dari 9 hingga 11 Mei ini.

Pejabat Premier Sarawak dalam satu kenyataan media pada Jumaat memberitahu, beliau akan menyampaikan ucaptama dalam sidang berkenaan sebagai penceramah kedua dalam slot selama 20 minit pada hari Isnin iaitu pada permulaan sidang kemuncak.

Beliau dijangka menyampaikan ucapan berdasarkan tema “Mempercepatkan Ekonomi Hidrogen Global: Cara Sarawak” untuk menonjolkan Sarawak sebagai negeri yang semakin meningkat dalam arena tenaga boleh diperbaharui.

Pada sebelah petang Isnin selepas menyampaikan ucaptama, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari dan delegasinya dijadualkan melawat pejabat Shell di Haque yang mana taklimat akan diberikan oleh Eksekutif Kanan Shell, antara lain, mengenai masa depan Shell di Sarawak.

Pada pagi Selasa, delegasi Premier Sarawak dijadual bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Pelabuhan Rotterdam dan pada sebelah petang, mereka akan dibawa melawat pusat teknologi Shell di Amsterdam yang mempamerkan teknologi hidrogen syarikat multinasional dan pelbagai inovasi baharu lain.

Sementara itu, Delegasi berkenaan akan terbang ke Oslo pada hari Rabu.

Turut mengiringi beliau kelak ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni, Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar , Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Pengerusi Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Hussain, Pengerusi Sarawak Energy Berhad (SEB), Datuk Amar Hamed Sepawi dan Ketua Pegawai Eksekutif SEB, Datu Sharbini Suhaili.-EDISI UKAS

Sumber dari : UKAS